Tuesday, 5 July 2011

Titipan Rindu Buat Ayah


Bila mendengar lagu ini membuatkan air mata hampir terjatuh. Hati bagai nak bersuara ingin berkata betapa rindunya pada ayah. Ayah adalah seorang yang paling teristimewa dalam hidup semua orang yang bergelar anak.Ayah berusaha dengan gigih tanpa mengenang penat lelah mencari rezeki yang halal buat anak-anaknya. Ayah adah orang yang paling saya kagumi dalam hidup saya.
26 tahun hidupku bersama insan yang bergelar ayah.  Pelbagai perkara yang kulalui bersama ayah dalam mengharungi hidup. Pertama sekali, aku lahir kedunia ini sebagai anak bongsu kepada 5 orang adik beradik. Dalam lima beradik ini hanya dua orang lelaki iaitu anak ke 4 dan aku sendiri.
Kehidupanku sebagai anak bongsu memberikan lebih masa dan ruang untukku bersama ayah selalu. Ke mana saja arah tuju ayah mesti bersama saya. Anak manja katakan. Banyak perkara yang mengingatkan saya pada ayah. Pelbaga cerita dan nasihat yang di dengar dan dikatakan oleh ayah. Dengan kata lain, sayalah anak ayah yang banyak bersama ayah sepanjang hidup ayah.
Gambar Semasa melawat Pulau Labuan
Pelbagai cerita ayah ceritakan pada kami anak-anaknya. Antara cerita yang paling tidak saya lupakan adalah cerita berkaitan perjuangan beliau pada zaman pemerintahan Jepun pada tahun 1942. Pelbagai penderitaan yang mereka lalui termasuklah kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan untuk keluarga. Paling saya kagumi yang sering dikatakan oleh ayah pada kami dan cucunya ialah bagaimana beliau telah berjaya melepaskan diri dari menjadi tahanan tentera Jepun dengan mengiggit tangan tentera Jepun itu. Segala yang diceritakan oleh ayah membuatkan saya sangat-sangat kagum pada ayah.
Selain itu, ayah juga sering bercerita tentang kehidupan sengsara yang dilalui semasa selepas kekalahan Jepun. Kesukaran untuk mendapatkan bekalan gula dan susu  buat membesarkan anak-anak. Ayah terpaksa berjalan berbatu-batu untuk membeli gula dan susu menggunakan kerbau tanpa boleh menggunakan jalan raya hanya boleh berjalah di tepi jalan raya. Hal ini kerana, pada masa itu hanya orang kenamaan sahaja yang boleh menggunakan jalan raya yang ada. Sekiranya didapati menggunakan jalan raya akan di saman atau denda penjara. Walaupun pada masa itu saya belum dilahirkan tetapi saya memahami bahawa betapa sukarnya untuk menjalani hidup pada masa itu. Hanya ketabahan dan kesabaran yang mampu untuk mengatasi segalanya.
Ayah
Pelbagai lagi cerita yang ayah ceritakan tentang hidup yang dilalui. Bermula dari cerita semasa remaja sebelum kahwin  hinggalah ke kehidupan berkeluarga, bercerai dengan isteri  kemudian bersama semula kemudian isteri meninggal sehinggakan berkahwin pula dengan ibu. Terlalu banyak sangat perkara yang dilalui dalam hidup.
King And Queen In My Heart
Setelah berkahwin dengan ibu, ayah dan ibu memulakan jalan kehidupan yang baru dengan berpindah ke Kampung yang belum ramai orang yang mendudukinya. Bermulalah perjuangan ayah dalam meneruskan kehidupan bersama isteri tersayang. Bermula dengan melakukan pelbagai aktiviti pertanian dan pelbagai kerja kampong untuk mencari sesuap nasi buat keluarga di rumah. Pelbagai  rintangan dan dugaan bagi menempuhi kehidupan yang mencabar.

Masih ku ingat kata-kata ayah.
 “Dalam menbesarkan anak-anak dan mencari sesuap nasi untuk kami sekeluarga pelbagai perkara yang dilalui. Hanya mati saja yang tak pernah dilalui. Pengsan pun pernah bermula dari jam 10 pagi sedar lagi jam 4 petang kerana terjatuh dari kerbau dari mencari rezeki di hutan.”
Inilah Hasil Usaha Ayah Membesarkan Saya. Segulung Ijazah Buat Ayah
Ayah juga ada berkata.
“Dalam mencari rezeki anak-anak, semua rezeki yang diberikan pada anak-anak semua halal. Tak pernah mencuri untuk mendapatkan rezeki”

Pelbagai kisah dan kenangan terindah bersama ayah telah dilalui. Terima Kasih buat Isteriku yang tersayang kerana menyanyangi ayah dan bersama menjaga ayah semasa ayah sakit. Hanya tuhan saja yang dapat membalas segala pengorbanan semasa bersama menjaga ayah.
Raya Bersama Ayah
 Gambar Raya Bersama Ayah
Ayah Dan ibu
Gambar Raya Terakhir Bersama Ayah
Tahun 2009 ayah telah pergi menghadap ilahi. Sesungguhnya saya amat bangga menjadi anak ayah yang bongsu. Bersama doa kuiringkan buat ayah semoga berada bersama-sama orang-orang yang beriman. Segala kenangan bersama ayah akan tetap menjadi kenangan yang terindah dalam hidup saya. Terima kasih pada ayah kerana membesarkan saya. Sesungguhnya ayah adalah ayang yang terbaik. Sehingga kini saya amat merindui ayah.Buat Ayah hanya tuhan saja dapat membalas segala pengorbananmu membesarkan kami. Terima Kasih ayah

06/07/2011
home sweet home
01.19 am

No comments:

Post a Comment